Tangisan Raihan Suleiman Pelastin…

. Sabtu, 08 Februari 2014

HUJAN renyai-renyai.

Di luar cerita-cerita mengenai keputusan Datuk Azalina Othman Said menarik diri daripada bertanding melawan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk jawatan Ketua Wanita UMNO hujung tahun ini nampaknya ‘hangat’ diperkatakan, menenggelamkan cuaca dingin dek hujan.

Tak semena-mena, satu nama tiba-tiba muncul.

Raihan Suleiman Pelastin.

Bekas Ketua Wirawati Perkasa yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Kulim Bandar Baru itu mengumumkan untuk mencabar Shahrizat, satu pengumuman yang di luar dugaan sama sekali.

Raihan yang kini menetap di Putrajaya ternyata tidak selemah yang disangkakan walaupun sudah ada cakap-cakap yang mengatakan ia cuma satu pengumuman ‘nakal’ daripasa seorang ahli biasa pergerakan itu.

” Bukan mudah untuk membuat keputusan ini (bertanding), tetapi saya bersyukur kepada Allah kerana respons yang saya terima daripada ahli, kenalan dan rakan-rakan cukup mengujakan.

” Saya betul-betul terharu kerana mereka memberikan saya semangat dan ransangan yang bukan sedikit.

” Walaupun saya tidak menjanjikan apa-apa terutama dalam bentuk pulangan material, namun mereka tetap bangun menyatakan pendirian untuk saya terus berjuang dan berusaha  mengetuai pergerakan ini sehinggakan saya tak mampu nak berkata-kata,” katanya menitiskan airmata.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, siapa bapa beliau?

Sulaiman Ahmad atau ‘Sulaiman Palestine’ adalah ahli UMNO dari Pulau Pinang.

Pada tahun 1978, beliau adalah Ketua Penerangan UMNO.

Beliau dianggap sebagai ‘ultra’  Melayu / Islam kerana pidato yang berapi-api terutama berhubung isu Palestin dan Dasar Bahasa Kebangsaan yang masih belum didaulatkan pada 1967.

Menyentuh mengenai lawannya, Raihan berkata, beliau bukan berniat untuk menggugurkan satu sama lain.

” Kita gugurkan lawan untuk menjadi kawan kerana kita adalah bersaudara dan satu keluarga.

” Kita mesti menghormati jasa mereka, jangan dihina hanya kerana kesilapan yang kita sendiri belum tahu,”  katanya.

Malah ketika ditanya oleh The Star baru-baru ini sekiranya beliau menerima kritikan ekoran pengumumannya itu, Raihan berkata tidak ada apa yang perlu digusarkan dengan hanya bertanding.

“Selama ini, tidak ada sesiapa pun dari UMNO yang menolong saya, dan kehidupan saya juga masih sama.

“Saya masih boleh lagi makan, hidup, beli rumah dengan duit saya sendiri. Saya percaya semua ini datang daripada Allah,” katanya.

Walaupun beliau mengumumkan untuk bertanding sama dengan pengumuman yang dibuat oleh Datuk Seri Azalina Othman Said (yang telah mengumumkan penarikan diri beliau daripada saingan), Raihan berkata beliau tidak terkejut kerana dia bukannya berada dalam radar media.

“Siapalah saya berbanding mereka, yang mempunyai pangkat dan gelaran? Saya hanya orang biasa yang mempunyai kehidupan seperti orang lain,” katanya

Mungkin tulisan Raihan dalam akaun FB miliknya, boleh menjawab segala persoalan tentang diri beliau;

SELAGI NYAWA DIKANDUNG BADAN DENGAN IZIN ALLAH PERJUANGAN SAYA TETAP AKAN DITERUSKAN. TIDAK AKAN MENARIK DIRI DEMI ANDA YANG MAHUKAN PERUBAHAN. SAYA AKAN HANYA MENARIK DIRI SEKIRANYA ANDA YAKNI AKAR UMBI MENYURUH SAYA TETAPI BUKAN PERINTAH ATAU SURUHAN ATASAN. SAYA HAMBA RAKYAT DAN KEPUTUSAN SAYA DITANGAN RAKYAT BUKAN DITANGAN PEMIMPIN, SEMUANYA ATAS KEHENDAK ALLAH.

0 komentar: